Novel: Cinta Ad & Far Bab 2
AKU berjalan menuju ke kantin sekolah dengan
pantas. Sudah terbayang-bayang tiga biji karipap yang berharga satu ringgit di dalam kepala. Perut mula
memainkan irama lagu rock kapak zaman 90-an. Aku hanya dibekalkan wang bernilai satu ringgit setiap hari. Mungkin nilainya agak
sedikit di mata orang lain, namun amat besar di mata aku. Aku bersyukur.
Alhamdulillah.
Di pertengahan jalan, kaki aku
tersadung pada sesuatu yang keras. Badan hilang keseimbangan dan tanpa sempat
berpaut pada apa-apa, “Gedebuk!!”
Umpama nangka busuk yang jatuh ke
tanah, begitulah bunyi yang terhasil. Bunyi tersebut menarik perhatian para pelajar
yang berada berdekatan. Siku aku berasa perit kerana terhentak. Mungkin sudah
luka. Hilai tawa para pelajar mula kedengaran. Tiada seorang pun yang berniat
untuk menolong mahupun menghulur tangan. Mereka hanya bergelak ketawa
seolah-olah sedang menonton rancangan Maharaja Lawak Mega.
Aku angkat muka, di hadapanku kini
berdiri suatu figura seorang pelajar perempuan yang bertocang satu sedang
ketawa terkekek-kekek bersama rakan-rakannya.
Adira.
Nama pelajar itu. Semua ini pasti angkara
dia. Dia sengaja menghalang laluanku dengan menggunakan kakinya sehingga
menyebabkan aku jatuh. Dia sering mencari masalah dengan aku.
Merah padam muka aku menahan malu.
Aku bingkas bangun lalu menepuk-nepuk baju kurung yang dipenuhi debu dan segera
beredar dari situ. Sakit di siku langsung tidak aku hiraukan. Sakit di hati
lebih parah. Belakang blok akademik tempat aku tuju. Tempat yang memberikan
ketenangan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Jauh daripada
hiruk-pikuk para pelajar. Tempat yang jarang pelajar kunjungi kerana dikatakan
berhantu. Peduli apa sama ada berhantu atau tidak. Asalkan baca pendinding diri
iaitu ayat Kursi, Insha-Allah tiada apa yang akan berlaku.
Aku panjat tembok untuk keluar
dari sekolah. Nasiblah pakai seluar di sebelah dalam. Di luar, terdapat sebuah
pohon rendang yang sering aku jadikan tempat untuk melepak dan mencari
ketenangan.
Aku duduk di bawah pohon rendang
itu. Mata dipejam rapat. Menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zikir
mula meniti di bibir. Aku menghayati setiap bait zikir. Lama-kelamaan ketenangan
mula menjalar ke dalam tubuh.
Subhanallah
Walhamdulillah Walailahaillallah Allahuakbar.
Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati
akan menjadi tenang. Sungguh, apa yang aku rasa sekarang hanyalah perasaan damai
semata-mata. Dari mana rasa ini datang, aku tidak tahu. Yang pasti semuanya
datang daripada Allah kerana tiada apa yang mustahil.
Tiba-tiba bahuku dipukul lembut dengan
sesuatu. Mata yang terpejam erat aku buka lambat-lambat. Ingin melihat makhluk
apakah yang cuba mengganggu-gugat ketenanganku.
Kelihatan seorang pelajar lelaki
yang memakai kemeja berwarna biru sedang berdiri di hadapanku. Seorang pengawas
sekolah. Mempunyai alis mata yang lentik serta hidung yang mancung. Lesung
pipit di kedua-dua belah pipinya menyerlahkan lagi ketampanan lelaki di hadapanku
ini. Mempunyai kulit sawo matang, rambut dipacak kemas. Mepunyai ketinggian kira-kira
180 cm serta badan yang tegap. Terdapat sebuah buku log bersaiz kecil di
tangannya. Mungkin benda itulah yang dia gunakan untuk memukul bahu aku
sebentar tadi.
"Kau siapa?" Terpacul
keluar soalan itu setelah kesunyian menyelubungi kami. Mungkin nampak agak
kasar tapi aku sememangnya tidak reti hendak berkomunikasi secara baik dengan
orang.
"Kau duduk sini sorang-sorang buat apa?" Soalan dibalas dengan
soalan.
"Kenapa kau ada dekat sini?" Tanya aku tanpa riak. Dia
nampak aku panjat tembok ke tadi?
Dia mengherotkan bibir ke tepi, “Wahai
saudari, tak kisahlah kenapa dan macam mana aku boleh berada di sini. Apa yang kau
perlu tahu, kau tak boleh duduk dekat sini, ya. Kau dikira ponteng sekolah.
Kalau kau tak nak makan dekat kantin sekali pun, pergilah perpustakaan ke
pondok ke. Kau dikira langgar peraturan sekolah. Ponteng. Pelajar yang
melanggar peraturan, boleh dikenakan tindakan disiplin." Terangnya panjang
lebar.
"Eleh, kalau kau diam, tak
ada siapa akan tahu. Sibuk sajalah. Kau pergilah masuk dulu. Nanti aku masuklah."
Aku menghalaunya kasar. Sebelum ini banyak kali aku buat kerja sebegini, tapi
tak pernah lagi tertangkap. Entah kenapa hari ini nasibku tidak berapa baik.
"Aku hanya jalankan
tugas." Nada suaranya diselitkan ketegasan.
“Sekali sekala lari tugas apa
salahnya.” Aku berkata malas.
“Kalau dekat akhirat nanti Allah
tanya kenapa aku tak jalankan tugas aku dengan dedikasi dan amanah, nak jawab
apa? Dan bagaimana kalau benda ni menjadi penyebab yang menghalang aku untuk
masuk ke syurga?” Persoalan yang menyentapkan jiwa.
"Ugh fine. Bagi aku 5 minit." Ujarku cuba berdiplomasi.
"Okay. Satu minit."
Dia mengerling jam di tangan, memulakan perhitungan.
Aku pejamkan mata kembali. Cuba
mencari ketenangan semula, namun terganggu disebabkan oleh kehadiran dia. Dasar
pengganggu ketenteraman! Berasa tidak selesa, aku bangun dan ingin memanjat
tembok semula. Hendak masuk kelas, lagipun waktu rehat pun hampir tamat.
“Nur Addin.”
Langkahku terhenti. Aku berpaling kepada
pengawas lelaki tersebut. Mana dia tahu nama aku?
Seperti mengetahui apa yang
bermain di benakku, jarinya terarah ke bajuku.
“Oh, nametag.” Gumamku perlahan.
"Kenapa?" Soalku hairan.
"Siku kau." Segera aku
lihat siku. Ah, darah! Nasib setompok sahaja. Aku segera memanjat tembok lalu menuju
ke tandas tanpa mengucapkan terima kasih. Risau sekiranya kesan darah ini tidak
hilang apabila sudah kering.
Farhan.
Nama yang tertera pada nametag pengawas lelaki itu. Oh, baru aku
ingat! Dia merupakan ketua pengawas. Pelajar kelas Sains 1. Terkenal dalam
kalangan pelajar perempuan. Tipikal ciri-ciri seorang ketua pengawas, kacak,
pandai, kaya. Cukup pakej! Semua junior
akan tergila-gilakan dia. Itu sahaja
yang aku tahu tentang dia. Ah! Aku cuba tepis jauh bayangan pengawas
lelaki itu. Ayunan langkah aku percepatkan.
“KRING!!!” Loceng sekolah berbunyi. Menandakan waktu
persekolahan telah pun tamat. Aku keluar dari tandas dengan tergesa-gesa. Ingin
segera pulang ke rumah. Jika aku lambat, ibu pasti akan marah.
“Eh, mana beg aku?” Riak kehairanan terpamer di wajah saat kakiku
melangkah masuk ke dalam kelas. Kepala yang tidak gatal aku garu. Tempat duduk
aku kosong. Mata meliar memerhatikan segenap penjuru kelas. Tiada langsung
bayang beg lusuh kesayanganku yang sudah berusia lima tahun itu.
“Ah, siapa pulak dengki dengan aku
ni. Sebelum aku pergi tandas, ada je
dekat sini.” Aku membebel sendiri.
Sedang mencari-cari, mataku
menangkap bayang suatu objek berwarna kelabu
di dalam bakul sampah yang terletak di belakang kelas.
“Tak mungkin!” Aku geleng kepala
berkali-kali. Aku mendekati bakul sampah. Setelah mengenal pasti objek itu,
segera aku mencapainya. Nasib tiada sampah yang kotor mahupun sampah yang berair
di dalam dalamnya, hanya kertas-kertas serta habuk pensel sahaja. Beg di tangan
aku sandang ke bahu. Habislah aku, nampaknya aku kena berlari supaya sampai ke
rumah dengan lebih awal.
Perjalananku dihalang di pintu
kelas. Tak lain dan tak bukan, Adira dan dua orang rakannya, Jannah dan Iffah
yang menghalang aku. Mereka sengaja mencari pasal dengan aku.
"Girls, tengok dia ni. Dahlah pakai baju lusuh. Kasut pun dah
koyak-rabak. Beg yang dah masuk dalam tong sampah pun dia sanggup kutip. Ewww gelinya…" Ujar Adira sambil membuat
gaya geli-geleman.
"Eee yuks! Kalau I, I tak sanggup nak pakai semua ni. I rela tak datang sekolah daripada pakai
pakaian yang macam sampah ni. Tak tahu malu betul…" Jannah yang berada di
sebelah Adira juga turut serta mencemuh aku.
Ketawa jahat mula kedengaran. Dan
sekarang aku tahu siapa punya angkara, kurang ajar.
"Blah la. Aku nak balik. Aku tak faham betul apa masalah kau orang
semua. Aku tak pernah cari pasal
pun dengan kau orang." Aku cuba untuk bersabar. Aku hembus dan tarik nafas
perlahan.
Bersabarlah. Sabar itu separuh daripada iman.
Pujuk hati.
"Mak kau mesti tak ada duit,
kan? Nak beli barang sekolah pun tak mampu. Agak-agaknya dari manalah dia kutip
semua ni? Entah siapa punya bekas entah yang kau guna ni." Iffah juga
turut menyertai mereka.
"Mak jenis apalah dia tu?
Biarkan anak sendiri pakai barang yang dah serupa sampah. Entah-entah kau pun
dia kutip dari tong sampah kut…" Adira cuba menaikkan kemarahan aku.
Ketawa mereka kedengaran lagi.
Huh, lawak sangat ke?
“Hoi!” Serentak dengan itu,
bahunya aku tolak.
"Kau memang dah melampau,
kan!? Aku boleh tahan lagi kalau kau nak caci aku, hina aku, tapi aku pantang
kalau kau sebut pasal mak bapa aku. Kau ingat kau pakai barang branded ni semua, kau bagus sangat ke? Kau
ingat tu tiket untuk kau hina orang sesuka hati kau ke? Hah?" Bahu
rakannya-rakannya juga aku tolak. Kebiasaanya, aku hanya mendiamkan diri namun
hinaan yang dilemparkan membuatkan aku hilang sabar kali ini.
"Setakat muka je cantik, tapi mulut macam longkang
baik tak payah! Kalau kaya tapi tak beradab, tak guna! Itu semua bukan tiket
untuk kau layan orang lain macam sampah! Semua manusia sama di sisi Allah.
Dalam kubur nanti, kau tak akan bawa semua tu. Apa yang akan dibawa hanyalah
amalan. Pangkat, darjat, rupa, harta semua akan ditinggalkan! Kau faham tak apa
aku cakap!" Amarahku tiba ke kemuncak.
"Tu je kau mampu buat? Sibuk nak cakap pasal agama, umur baru
setahun jagung…" Adira menjongketkan keningnya, tanda mencabar.
Mereka bertiga melemparkan
senyuman sinis. Senyuman mengejek. Tangan hampir sahaja aku layangkan ke muka
Adira.
"Woi! Kau orang buat apa, hah?"
Suara itu menghentikan pergerakan tanganku yang hampir sahaja dilayangkan ke
muka Adira. Pengawas lelaki yang sama. Dia berjalan mendekati kami.
"Tak buat apa pun. Cuma
berbual kosong." Adira berkata dengan lenggok suara yang sengaja
dilunakkan. Putera idaman di hadapan mata, haruslah dia berlagak baik.
"Girls, jom balik."
Ajak Adira.
“Jaga diri baik-baik ya, Addin.
Hati-hati balik nanti. Aku sayang kau dan aku tak nak apa-apa jadi dekat kau.
Jalan nanti elok-elok, tengok kereta kiri kanan. Nanti accident, aku juga yang susah kan, Addin?” Pipiku Adira usap
perlahan.
Aku alihkan muka ke tepi. Meluat
betul. Dasar manusia hipokrit! Di hadapan orang, berpura-pura seolah dialah
malaikat, di belakang orang, perangai serupa syaitan.
“Bye, Han… You pun jaga diri tau…” Adira menghadiahkan flying
kiss kepada Farhan sebelum dia dan rakan-rakannya berlalu pergi.
“Gedik.” Gumamku.
"KAU OKAY?"
Dia memecah keheningan antara kami.
"Nur Addin!" Tiada
sahutan.
"Nur Addin!" Panggilnya
lagi. Suaranya dikuatkan.
Aku tersentak daripada
lamunan. Wajah Farhan yang berdiri di
hadapanku aku tenung. Terpaksa aku mendongak sedikit disebabkan oleh perbezaan
ketinggian. "Hah? Ya, ada apa?"
Senyuman sinis terukir di bibir
Farhan. "Berangan tak sudah. Kau okay tak ni?"
"Erk… Aku okay."
Kenapa gagap pula ni?
Dia menilik wajahku, tidak
percaya. "Jom buat report dekat Cikgu Razak. Aku tahu kau
kena buli. Orang macam dia orang jangan bagi muka. Lagi bagi muka, lagi menjadi-jadi
perangai. Jangan risau, aku akan backup
kau."
"Mana ada mereka buli aku.
Tak nak aku buat report." Aku
cuba menidakkan penyataannya. Malas mahu membesarkan cerita. Lagipun bukan
teruk sangat aku kena buli. Selagi boleh sabar, aku sabar.
“Kau tak payah tipu aku. Aku
nampak semuanya tadi. Jom buat report.”
Desaknya.
“Kalau aku kata tak nak, maksudnya
aku tak nak.” Ujarku separuh tegas.
Pantang betul dengan orang yang suka memaksa ini!
“Hari tu ponteng sekolah, hari ni
kena buli pula. Hari tu berani buat salah, hari ni diam menikus serupa pengecut.
Pelik-pelik aje kau ni.” Provok Farhan
sambil menggeleng kepala.
“Kau tak payah nak cari gaduh
dengan aku.” Aku menjeling Farhan tajam. Boleh tahan pedas mulut lelaki ni.
Farhan sekadar mengangkat bahu. “Siapa
makan cili, dialah yang terasa pedasnya.”
“Dasar pengganggu ketenteraman!”
Dengusku kasar sebelum berlalu pergi meninggalkan Farhan sendiri.
Comments
Post a Comment
Ada sebarang pertanyaan? Tinggalkan komen anda di sini ^^ Terima kasih :')