Novel: Cinta Ad & Far Bab 1
PINTU ditutup rapat. Beg sekolah diletakkan
di tepi almari. Sedari tadi, katil seakan-akan memanggil, badan yang keletihan
aku hempas ke atas katil.
"Ah, nikmatnya!" Ujarku
separuh menjerit. Baju sekolah yang masih tersarung pada tubuh aku biarkan.
Rambut yang diikat kemas terurai, getah rambut tercampak entah ke mana. Semakin
lama mata semakin berat, rasa kantuk menguasai diri.
"Addin! Addin!" Pekikan
ibu jelas kedengaran seiring dengan ketukan yang bertalu-talu pada pintu bilik.
Dengan langkah yang berat, aku bangun lalu berjalan menuju ke pintu.
“Kau buka cepat!” Pintu diketuk dengan lebih
kuat.
"Sekejap…" Laungku dari
dalam.
"Kau ni memang tak dengar atau
sengaja buat-buat tak dengar, hah? Aku panggil kau banyak kali, tak dengar ke!?
Telinga tu letak dekat mana? Kepala lutut? Ke dekat tapak kaki!?" Jerkah ibu saat pintu bilik
terbuka luas lantas tangannya memiat telingaku tanpa rasa belas.
"Maaf, ibu. Addin baru sampai
rumah." Aku mengusap perlahan telinga yang terasa pedih akibat dipiat. Bukan
hendak mereka alasan semata-mata, tetapi aku memang penat. Perjalanan dari
sekolah ke rumah yang memakan masa selama 20 minit di bawah pancaran matahari
yang terik amat menguji keupayaan fizikal.
"Aku dah kata… Tak payah
sekolah. Kau degil juga nak pergi sekolah. Pergi sekolah dapat apa!? Dapat
penat! Kerja rumah semua
terbengkalai. Baju dekat dapur tu siapa nak basuh?? Pinggan mangkuk dalam singki tu kau nak
biarkan sampai berkulat ke?"
Aku hanya mendiamkan diri. Sudah
biasa dengan situasi sebegini, kata orang sudah lali. Untuk ke sekolah juga aku
perlu merayu-rayu dengan ibu. Ibu kata, aku hanya layak duduk di rumah. Buat
kerja rumah sahaja. Kalau sudah miskin, buatlah cara orang miskin. Tak perlu berlagak
seolah-olah mempunyai harta segunung. Sekolah hanya untuk anak-anak orang yang
berada sahaja. Kami yang miskin ini tidak mampu untuk membiayai yuran.
Orang miskin tak akan
selama-lamanya miskin, manakala orang kaya tak akan selama-lamanya kaya kerana
hidup ini umpama pusingan roda. Takdir hidup boleh diubah dengan izin Allah. Usaha,
doa dan tawakkal adalah senjata dalam menggapai apa sahaja yang diimpikan. Riak,
takabbur, ujub pula akan menjadi senjata diam dalam menjauhkan manusia daripada
pencipta-Nya.
Walau
bagaimanapun, aku tetap bersyukur. Meskipun mulut ibu berkata sedemikian rupa,
aku masih diberi peluang untuk ke sekolah. Walaupun hanya dengan sepasang baju
kurung sekolah yang lusuh, kasut yang koyak di hujung dengan tapak yang sudah
nipis serta sebuah beg kelabu yang semakin pudar warnanya.
"Hoi! Kau dengar tak apa yang
aku cakap ni!? Berangan je kerja. Aku tengah cakap dengan
tunggul ke dengan manusia, hah?" Kepala aku ditunjal kasar.
Aku tersentak daripada lamunan,
"Maaf ibu. Addin dengar."
Kepala aku tundukkan berkali-kali.
Salah aku, jadi akulah yang harus meminta maaf. Walau seteruk mana pun layanan
ibu, dia masih seorang ibu. Seorang ibu yang mengandungkan aku selama 9 bulan
di dalam rahimnya serta membesarkan aku sejak kecil. Dia perlu dihormati dan
disayangi dengan sepenuh hati. Hatinya perlu dijaga agar dia tidak berkecil
hati. Layanan terhadapnya perlu penuh adab dan sopan. Kerana apa? Kerana dia
seorang ibu.
"Buatkan aku air sirap
bandung. Kerja rumah jangan lupa siapkan!! Jangan membuta aje!" Ibu menolak badan aku dengan kasar. Nasiblah aku sempat
berpaut pada pintu. Kalau tidak, pasti sudah jatuh.
Setelah ibu berlalu, aku bergegas
ke dapur. Air sirap bandung aku bancuh untuk ibu. Aku hela nafas berat. Satu
persatu kerja rumah aku mula selesaikan.
NAMA aku Nur Addin. Aku merupakan
seorang pelajar Tingkatan 5. Tinggal bersama seorang ibu tunggal. Ayah aku telah dijemput
Ilahi semasa usia aku masih mentah, iaitu ketika aku berada di Tahun 5. Sebelum
ayah pergi, keadaan keluarga aku bukan seperti sekarang, jurangnya sangat jauh.
Kebahagiaan sentiasa menghiasi rumah kami, dipenuhi dengan kasih sayang. Jarang
sekali ada pergaduhan. Jarang sekali ada pekikan-pekikan yang membingitkan
telinga. Yang ada hanyalah nasihat serta tutur bicara yang lembut.
Aku ditatang bagai minyak yang
penuh. Segala kemahuanku dituruti. Aku lebih rapat dengan ayah berbanding ibu.
Beliau seorang yang penyayang. Tutur bicaranya sentiasa lembut dan sopan.
Sentiasa manis dengan senyuman. Mampu membuatkan jiwa yang gundah menjadi
tenang serta merta. Ibu juga tidak kurang hebatnya. Ibu melayan aku dengan baik
sekali. Namun segala-galanya berubah selepas pemergian ayah. Tiada harta yang
ayah tinggalkan untuk kami. Pemergian ayah juga secara mengejut dan tiba-tiba.
Hidup kami semakin susah. Dari
rumah teres dua tingkat ke sebuah rumah flat. Dari sebuah kereta Toyota Vios ke
sebiji motor cabuk. Masalah kewangan semakin menghimpit kerana ibu tiada
pekerjaan. Selama ini ayah yang menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga. Hidup
yang dahulunya senang dan mewah, lama kelamaan semakin susah dan daif. Dari
hari ke hari, ibu semakin berubah. Hampir seratus peratus dirinya yang sekarang
bukan ibu yang aku kenali dahulu. Tekanan yang ibu rasai amat hebat. Selama
ini, dia hanya perlu menyiapkan makan minum serta pakaian aku dan ayah.
Mengemas rumah serta melakukan tugas-tugas sebagai seorang suri rumah. Sekarang
dialah yang perlu mencari wang. Mencari nafkah untuk keperluan kami berdua. Dia
menggalas dua tanggungjawab, kerana… Dialah ayah… Dialah ibu...
Pipi yang semakin basah dengan air
mata aku biarkan sahaja. Air mata tidak pernah meninggalkan aku sendiri, sering
menjadi peneman sewaktu aku sepi. Jam dinding menunjukkan pukul 11 malam, namun
mata tidak dapat dilelapkan. Aku rindukan segala-galanya. Aku rindukan ayah.
Aku rindukan ibu yang dahulu. Aku rindukan sebuah keluarga yang bahagia.
Aku perlu kuat. Ya, aku harus kuat! Ramai lagi
yang hadapi situasi yang lebih teruk daripada aku. Sekurang-kurangnya aku tidak
hidup merempat. Sekurang-kurangnya aku masih mempunyai seorang ibu dan masih mempunyai
rumah untuk berteduh. Malah aku masih diberi peluang untuk menuntut ilmu.
Peluang yang tidak semua orang dapat. Senyum tipis aku ukir. Belajar erti bersyukur.
Nescaya hidup akan sentiasa tenang dan bahagia.
Comments
Post a Comment
Ada sebarang pertanyaan? Tinggalkan komen anda di sini ^^ Terima kasih :')