Novel: Cinta Ad & Far Bab 3

Assalamualaikum W.B.T dan Selamat Sejahtera

"KAU tengok sekarang dah pukul berapa!?" Belum sempat kedua-dua kaki melangkah masuk, aku diterjah dengan suara lantang ibu. Muka bengis ibu menghiasi pandangan mata. Aku diam tidak berkutik. Penat yang aku rasa masih belum hilang. Cemuhan yang Adira dan rakan-rakannya lemparkan masih terngiang-ngiang di telinga.

"Kau dengar tak apa aku cakap ni!?" Suara ibu naik seoktaf.

"Dengar, ibu."

"Pukul berapa sekarang ni!?" Pertanyaannya diulang kembali.

"Pukul dua." Perlahan sahaja suaraku.

“Tahu pun pukul dua! Dah tu, kenapa kau balik lambat hah!? Kau pergi merayap mana? Aku penat-penat cari duit, kau tahu nak enjoy sahaja, kan! Anak jenis apa kau ni…" Mata ibu mencerlung marah.

"Tadi Addin pergi jumpa cikgu, ibu. Ada hal…" Ya Allah, ampunilah aku. Bukan niat aku hendak berbohong. Tapi, mana mungkin aku hendak beritahu ibu hal yang sebenar.

"Mak kau ke cikgu kau lagi penting? Yang menyusukan kau dulu siapa? Yang bela kau dari kecil siapa? Yang bagi kau makan minum siapa? Mak kau, kan? Kau sibuk nak jumpa cikgu kau, mak kau ni kau biarkan kebulur dekat rumah. Bagus sangatlah tu? Hah? Sibuk tolong orang lain, mak sendiri kau abaikan!" Aku ditolak kasar sehingga jatuh ke atas lantai.

Ya Allah, berdosakah aku? Ah, serba salah aku rasa. Disebabkan aku layan mereka tadi, aku abaikan ibu. Aku bangkit dan segera mencapai tangan ibu. Tangannya aku cium berkali-kali. "Maaf, ibu. Addin tak ada niat pun nak balik lambat. Addin betul-betul ada hal tadi. Addin minta maaf, ibu."

Tanganku ditepis kasar.

"Kau dengar sini baik-baik! Pasang telinga betul-betul. Buka telinga kau luas-luas. Aku langsung tak kisah kau nak balik pukul berapa, kau nak pergi mana sekali pun. Aku tak peduli! Sebab hal kau, hal kau. Hal aku, hal aku. Tapi satu saja aku nak pesan, kau kena pastikan yang makanan dah siap dimasak waktu aku balik tengahari. Itu sahaja syarat aku. Itu pun kalau kau masih nak tinggal dengan aku. Kalau kau rasa kau dah tak tahan dengan aku, kau carilah mana-mana keluarga yang nak bela kau. Kau faham tak!?"

Bahuku terenjut apabila disergah sebegitu, "Faham, ibu."

Kolam mataku hangat. Aku tahan air mata daripada mengalir di hadapan ibu. Aku ukir senyuman terpaksa. Kalau orang lain yang memperlakukan aku sebegini, aku tak kisah. Tapi kalau ibu sendiri? Aku sendiri tiada jawapan untuk persoalan itu. Nampak macam aku berhati keras, padahal apabila masuk hal ibu, hati aku boleh jadi selembik tisu dan serapuh biskut.

Ibu keluar dari rumah tanpa sebarang kata.

"Ibu nak pergi mana?" Suaraku serak bertanya, menahan esak.

"Aku nak pergi kerjalah, bengap… Nak tunggu kau masak, memang aku masuk kerja lambatlah nanti. Aku ni kuli je. Nanti kalau kena potong gaji, siapa yang nak tanggung makan minum kau!?"

Tersentak aku apabila dipanggil sebegitu oleh ibu. Aku perhatikan ibu berlalu sehingga hilang daripada pandangan.

“Maafkan Addin, ibu. Addin tak dapat jadi anak yang baik untuk ibu.” Akhirnya, air mata yang ditahan sedari tadi gugur jua…

Walau seteruk mana pun layanan ibu bapa kita, hormatilah mereka. Kerana tanpa mereka, kita tak akan dapat lihat dunia pada hari ini.

Learn to love them wholeheartedly. Learn to treat them nicely.

Pujuk hati.

 

 

'PERPUSTAKAANKU RUMAHKU.' Terpampang papan tanda yang bersaiz sederhana pada pintu perpustakaan sekolah. Aku meliarkan mata ke segenap ruang. Mencari meja kosong. Hampir semua meja telah dihuni oleh para pelajar. Maklumlah, Ujian Akademik 1 bakal menjelang dalam masa dua minggu sahaja lagi. Sudah pasti semua pelajar hendak membuat persediaan yang rapi.

 Mujur ada satu lagi meja yang masih kosong. Aku hembus nafas lega. Untuk belajar, aku perlu ke perpustakaan. Di rumah, tiada satu pun buku rujukan mahupun buku latihan. Ibu tiada wang untuk belikan aku buku. Duit belanja yang ibu beri tidak cukup untuk aku beli buku rujukan walaupun hanya sebuah.

Kalau aku minta untuk beli buku, pasti akan dimarahi. Sedangkan untuk pergi ke sekolah pun ibu marah, inikan pula untuk beli buku. Nak tak nak terpaksalah aku pergi ke perpustakaan pada waktu petang, selepas waktu persekolahan tamat. Itupun aku perlu pulang ke rumah terlebih dahulu untuk masakkan makanan tengahari untuk ibu. Walaupun agak penat, aku tak akan halang cita-citaku untuk berjaya dalam hidup dan mengejar impian yang sudah lama diidamkan.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Aku percaya segala kesusahan yang aku alami sekarang akan terbalas dengan sesuatu yang indah apabila tiba masanya nanti. Allah itu Maha Adil.

Dalam dunia ini, tiada apa yang dapat dikecapi dengan mudah. Semuanya perlu dilalui dengan kesusahan dan kepayahan terlebih dahulu. Untuk makan juga perlu ada wang. Untuk ada wang, perlu bekerja dan membanting tulang empat kerat. Mana ada benda yang percuma sekarang ini. Masuk tandas awam pun dikenakan caj 20 sen.

Badan aku tegakkan. Aku letakkan badan dalam posisi sedia dan selesa. Aku tadah tangan dan baca doa belajar.

'Bismillahirrahmanirrahim.'

Buku rujukan Sejarah Tingkatan 5 aku buka. Bab 2 menjadi pilihan. Satu kertas putih bersaiz A4 aku lipat empat. Nota-nota penting aku catat di atasnya, seringkas dan sepadat yang boleh. Dengan menggunakan pen yang berbagai-bagai warna, nota itu kelihatan menarik dan kemas.

Pernah aku terbaca, salah satu cara yang paling efektif untuk belajar adalah dengan membuat nota yang padat dan ringkas supaya pelajar dapat mengetahui isi-isi penting dalam sesuatu bab. Di samping itu, jadikan nota itu menarik untuk mengelakkan pelajar mengantuk dan berasa bosan semasa mengulang kaji.

Konsep peta i-think  yang guru-guru telah ajar aku aplikasikan ketika ini. Waktu bila lagi aku nak guna peta i-think itu kalau bukan sewaktu membuat nota. Sedang aku leka mencatat nota, kerusi dihadapanku ditarik. Perhatianku terganggu.

"Boleh aku duduk sini?"

Aku angkat kepala. Mamat ni lagi.

Kepala kugeleng, "Tak boleh."

Seolah-olah tidak mendengar jawapan daripada aku, dia tetap duduk di situ.

"Cakap tak boleh pun tak guna. Kau tetap juga duduk situ." Aku berkata dalam nada yang malas.

"Meja yang lain semua dah penuh. Aku tengok meja ni, kau seorang je yang duduk, jadi aku duduklah sini. Tak salah, kan?" Dia mempertahankan diri.

Malas mahu berbalah, aku biarkan sahaja kata-katanya, lantas kembali menyambung kerja yang tergendala.

"Kau belajar apa?" Soalnya sambil menjengukkan kepalanya pada buku yang sedang aku baca.

"Shhh! " Aku memberi amaran. Jari telunjuk aku letak pada  bibir, tanda tidak mahu diganggu.

"Kenapa aku tak pernah nampak kau datang sini, eh? Kenapa petang ni baru aku nampak kau?" Suaranya kedengaran lagi.

Jelingan maut aku hadiahkan.

“Kau memang seorang diri ke? Kawan-kawan tak ada?” Masih tiada tanda-tanda yang lelaki ini akan berhenti daripada mencari topik untuk dibualkan.

Jelingan maut kuasa dua diberikan.

 Satu, aku sememangnya tidak reti bergaul dengan orang terutama sekali orang yang baru dikenali. Dua, aku hendak tumpukan sepenuh perhatian pada buku Sejarah yang sedang dibaca.

"Okay… Aku diam." Ujarnya sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya. Lagaknya umpama seorang pesalah.

Selepas itu, hanya kedengaran bunyi buku diselak. Suasana sepi menyelubungi kami.

 

 

TIGA BAB berjaya aku habiskan. Nafas lega aku hela. Alhamdulillah. Senyuman terukir di bibir. Allah permudahkan segala urusan. Sudah pukul 4.50 petang, aku kemas barang-barang di atas meja. Mata aku alihkan pada lelaki di hadapanku. Alahai, tidur rupanya. Kepala digeleng. Kalau datang ke perpustakaan semata-mata nak rasa aircond dan nak lelapkan mata, lebih baik balik rumah.

Sejurus sahaja aku bangkit dari kerusi dan berlalu, namaku diseru. Aku berpaling ke arah punca suara itu. Barang-barang di atas meja dikemas dengan segera. Dia berdiri lalu berjalan mendekatiku. Dia berhenti beberapa inci di hadapanku. Mata bertentang mata. Aku segera alihkan pandangan.

"Nama aku Muhammad…"

"Farhan." Belum sempat dia menghabiskan bicaranya, aku memotong.

Riak pelik terlakar di wajahnya.

"Nametag kau."

"Oh." Kepalanya diangguk faham.

"Errr, weh..." Dia bersuara lagi. Kelihatan teragak-agak untuk berbicara.

"Apa dia? Kalau tak ada apa-apa hal, aku balik dulu." Aku ingin segera beredar. Takut lambat sampai ke rumah.

"Nanti dulu!" Dia menahanku daripada berlalu pergi.

Aku angkat kening. Menyuruhnya agar menyambung apa yang ingin dia katakan.

"Aku nak minta sesuatu boleh tak?"

Aku pandang mukanya. Nak minta tolong apa? Kenal pun tak. Bercakap pun baru dua kali sahaja, termasuk hari ini, tiga kali. "Apa dia? Kalau aku boleh tolong, aku tolong. Kalau tak boleh, kau minta tolong orang lain."

ErkErk…” Dia garu kepala, kelihatan serba salah.

“Apa dia?” Gesaku. Erk… Erk… pula dia. Orang nak cepat-cepat balik rumah. Buang masa sahaja.

"Tak ada apa-apalah." Dia senyum menampakkan lesung pipitnya.

“Cepatlah. Apa dia?” Gesaku.

“Tak ada apa-apa. Betul…”

“Kau sengaja cari pasal dengan aku, kan?” Ujarku bengang. Dia telah bazirkan masa aku selama 1.05 minit. Sabar sajalah dengan pengawas seorang ni. Aku menghadiahkan jelingan tajam sebelum berlalu meninggalkan Farhan keseorangan.


 


Comments

Popular posts from this blog

Novel: Cinta Ad & Far Bab 2

Salam Perkenalan