Novel: Cinta Ad & Far Bab 2

Assalamualaikum W.B.T dan Selamat Sejahtera

AKU berjalan menuju ke kantin sekolah dengan pantas. Sudah terbayang-bayang tiga biji karipap yang berharga satu ringgit di dalam kepala. Perut mula memainkan irama lagu rock kapak zaman 90-an. Aku hanya dibekalkan wang bernilai satu ringgit setiap hari. Mungkin nilainya agak sedikit di mata orang lain, namun amat besar di mata aku. Aku bersyukur.

Alhamdulillah.

Di pertengahan jalan, kaki aku tersadung pada sesuatu yang keras. Badan hilang keseimbangan dan tanpa sempat berpaut pada apa-apa, “Gedebuk!!

Umpama nangka busuk yang jatuh ke tanah, begitulah bunyi yang terhasil.  Bunyi tersebut menarik perhatian para pelajar yang berada berdekatan. Siku aku berasa perit kerana terhentak. Mungkin sudah luka. Hilai tawa para pelajar mula kedengaran. Tiada seorang pun yang berniat untuk menolong mahupun menghulur tangan. Mereka hanya bergelak ketawa seolah-olah sedang menonton rancangan Maharaja Lawak Mega.

Aku angkat muka, di hadapanku kini berdiri suatu figura seorang pelajar perempuan yang bertocang satu sedang ketawa terkekek-kekek bersama rakan-rakannya.

Adira.

Nama pelajar itu. Semua ini pasti angkara dia. Dia sengaja menghalang laluanku dengan menggunakan kakinya sehingga menyebabkan aku jatuh. Dia sering mencari masalah dengan aku.

Merah padam muka aku menahan malu. Aku bingkas bangun lalu menepuk-nepuk baju kurung yang dipenuhi debu dan segera beredar dari situ. Sakit di siku langsung tidak aku hiraukan. Sakit di hati lebih parah. Belakang blok akademik tempat aku tuju. Tempat yang memberikan ketenangan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Jauh daripada hiruk-pikuk para pelajar. Tempat yang jarang pelajar kunjungi kerana dikatakan berhantu. Peduli apa sama ada berhantu atau tidak. Asalkan baca pendinding diri iaitu ayat Kursi, Insha-Allah tiada apa yang akan berlaku.

Aku panjat tembok untuk keluar dari sekolah. Nasiblah pakai seluar di sebelah dalam. Di luar, terdapat sebuah pohon rendang yang sering aku jadikan tempat untuk melepak dan mencari ketenangan.

Aku duduk di bawah pohon rendang itu. Mata dipejam rapat. Menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zikir mula meniti di bibir. Aku menghayati setiap bait zikir. Lama-kelamaan ketenangan mula menjalar ke dalam tubuh.

Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Allahuakbar.

Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Sungguh, apa yang aku rasa sekarang hanyalah perasaan damai semata-mata. Dari mana rasa ini datang, aku tidak tahu. Yang pasti semuanya datang daripada Allah kerana tiada apa yang mustahil.

Tiba-tiba bahuku dipukul lembut dengan sesuatu. Mata yang terpejam erat aku buka lambat-lambat. Ingin melihat makhluk apakah yang cuba mengganggu-gugat ketenanganku.

Kelihatan seorang pelajar lelaki yang memakai kemeja berwarna biru sedang berdiri di hadapanku. Seorang pengawas sekolah. Mempunyai alis mata yang lentik serta hidung yang mancung. Lesung pipit di kedua-dua belah pipinya menyerlahkan lagi ketampanan lelaki di hadapanku ini. Mempunyai kulit sawo matang, rambut dipacak kemas. Mepunyai ketinggian kira-kira 180 cm serta badan yang tegap. Terdapat sebuah buku log bersaiz kecil di tangannya. Mungkin benda itulah yang dia gunakan untuk memukul bahu aku sebentar tadi.

"Kau siapa?" Terpacul keluar soalan itu setelah kesunyian menyelubungi kami. Mungkin nampak agak kasar tapi aku sememangnya tidak reti hendak berkomunikasi secara baik dengan orang.

"Kau duduk sini sorang-sorang buat apa?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Kenapa kau ada dekat sini?" Tanya aku tanpa riak. Dia nampak aku panjat tembok ke tadi?

Dia mengherotkan bibir ke tepi, “Wahai saudari, tak kisahlah kenapa dan macam mana aku boleh berada di sini. Apa yang kau perlu tahu, kau tak boleh duduk dekat sini, ya. Kau dikira ponteng sekolah. Kalau kau tak nak makan dekat kantin sekali pun, pergilah perpustakaan ke pondok ke. Kau dikira langgar peraturan sekolah. Ponteng. Pelajar yang melanggar peraturan, boleh dikenakan tindakan disiplin." Terangnya panjang lebar.

"Eleh, kalau kau diam, tak ada siapa akan tahu. Sibuk sajalah. Kau pergilah masuk dulu. Nanti aku masuklah." Aku menghalaunya kasar. Sebelum ini banyak kali aku buat kerja sebegini, tapi tak pernah lagi tertangkap. Entah kenapa hari ini nasibku tidak berapa baik.

"Aku hanya jalankan tugas." Nada suaranya diselitkan ketegasan.

“Sekali sekala lari tugas apa salahnya.” Aku berkata malas.

“Kalau dekat akhirat nanti Allah tanya kenapa aku tak jalankan tugas aku dengan dedikasi dan amanah, nak jawab apa? Dan bagaimana kalau benda ni menjadi penyebab yang menghalang aku untuk masuk ke syurga?” Persoalan yang menyentapkan jiwa.

"Ugh fine. Bagi aku 5 minit." Ujarku cuba berdiplomasi.

"Okay. Satu minit." Dia mengerling jam di tangan, memulakan perhitungan.

Aku pejamkan mata kembali. Cuba mencari ketenangan semula, namun terganggu disebabkan oleh kehadiran dia. Dasar pengganggu ketenteraman! Berasa tidak selesa, aku bangun dan ingin memanjat tembok semula. Hendak masuk kelas, lagipun waktu rehat pun hampir tamat.

“Nur Addin.”

Langkahku terhenti. Aku berpaling kepada pengawas lelaki tersebut. Mana dia tahu nama aku?

Seperti mengetahui apa yang bermain di benakku, jarinya terarah ke bajuku.

“Oh, nametag.” Gumamku perlahan.

"Kenapa?" Soalku hairan.

"Siku kau." Segera aku lihat siku. Ah, darah! Nasib setompok sahaja. Aku segera memanjat tembok lalu menuju ke tandas tanpa mengucapkan terima kasih. Risau sekiranya kesan darah ini tidak hilang apabila sudah kering.

Farhan.

Nama yang tertera pada nametag pengawas lelaki itu. Oh, baru aku ingat! Dia merupakan ketua pengawas. Pelajar kelas Sains 1. Terkenal dalam kalangan pelajar perempuan. Tipikal ciri-ciri seorang ketua pengawas, kacak, pandai, kaya. Cukup pakej! Semua junior akan tergila-gilakan dia. Itu sahaja  yang aku tahu tentang dia. Ah! Aku cuba tepis jauh bayangan pengawas lelaki itu. Ayunan langkah aku percepatkan.

 

 

 “KRING!!!” Loceng sekolah berbunyi. Menandakan waktu persekolahan telah pun tamat. Aku keluar dari tandas dengan tergesa-gesa. Ingin segera pulang ke rumah. Jika aku lambat, ibu pasti akan marah.

“Eh, mana beg aku?”  Riak kehairanan terpamer di wajah saat kakiku melangkah masuk ke dalam kelas. Kepala yang tidak gatal aku garu. Tempat duduk aku kosong. Mata meliar memerhatikan segenap penjuru kelas. Tiada langsung bayang beg lusuh kesayanganku yang sudah berusia lima tahun itu.

“Ah, siapa pulak dengki dengan aku ni. Sebelum aku pergi tandas, ada je dekat sini.” Aku membebel sendiri.

Sedang mencari-cari, mataku menangkap bayang suatu objek  berwarna kelabu di dalam bakul sampah yang terletak di belakang kelas.

“Tak mungkin!” Aku geleng kepala berkali-kali. Aku mendekati bakul sampah. Setelah mengenal pasti objek itu, segera aku mencapainya. Nasib tiada sampah yang kotor mahupun sampah yang berair di dalam dalamnya, hanya kertas-kertas serta habuk pensel sahaja. Beg di tangan aku sandang ke bahu. Habislah aku, nampaknya aku kena berlari supaya sampai ke rumah dengan lebih awal.

Perjalananku dihalang di pintu kelas. Tak lain dan tak bukan, Adira dan dua orang rakannya, Jannah dan Iffah yang menghalang aku. Mereka sengaja mencari pasal dengan aku.

"Girls, tengok dia  ni. Dahlah pakai baju lusuh. Kasut pun dah koyak-rabak. Beg yang dah masuk dalam tong sampah pun dia sanggup kutip. Ewww gelinya…" Ujar Adira sambil membuat gaya geli-geleman.

"Eee yuks! Kalau I, I tak sanggup nak pakai semua ni. I rela tak datang sekolah daripada pakai pakaian yang macam sampah ni. Tak tahu malu betul…" Jannah yang berada di sebelah Adira juga turut serta mencemuh aku.

Ketawa jahat mula kedengaran. Dan sekarang aku tahu siapa punya angkara, kurang ajar.

"Blah la. Aku nak balik. Aku tak faham betul apa masalah kau orang semua. Aku tak pernah cari pasal pun dengan kau orang." Aku cuba untuk bersabar. Aku hembus dan tarik nafas perlahan.

Bersabarlah. Sabar itu separuh daripada iman.

Pujuk hati.

"Mak kau mesti tak ada duit, kan? Nak beli barang sekolah pun tak mampu. Agak-agaknya dari manalah dia kutip semua ni? Entah siapa punya bekas entah yang kau guna ni." Iffah juga turut menyertai mereka.

"Mak jenis apalah dia tu? Biarkan anak sendiri pakai barang yang dah serupa sampah. Entah-entah kau pun dia kutip dari tong sampah kut…" Adira cuba menaikkan kemarahan aku.

Ketawa mereka kedengaran lagi. Huh, lawak sangat ke?

“Hoi!” Serentak dengan itu, bahunya aku tolak.

"Kau memang dah melampau, kan!? Aku boleh tahan lagi kalau kau nak caci aku, hina aku, tapi aku pantang kalau kau sebut pasal mak bapa aku. Kau ingat kau pakai barang branded ni semua, kau bagus sangat ke? Kau ingat tu tiket untuk kau hina orang sesuka hati kau ke? Hah?" Bahu rakannya-rakannya juga aku tolak. Kebiasaanya, aku hanya mendiamkan diri namun hinaan yang dilemparkan membuatkan aku hilang sabar kali ini.

"Setakat muka je cantik, tapi mulut macam longkang baik tak payah! Kalau kaya tapi tak beradab, tak guna! Itu semua bukan tiket untuk kau layan orang lain macam sampah! Semua manusia sama di sisi Allah. Dalam kubur nanti, kau tak akan bawa semua tu. Apa yang akan dibawa hanyalah amalan. Pangkat, darjat, rupa, harta semua akan ditinggalkan! Kau faham tak apa aku cakap!" Amarahku tiba ke kemuncak.

"Tu je kau mampu buat? Sibuk nak cakap pasal agama, umur baru setahun jagung…" Adira menjongketkan keningnya, tanda mencabar.

Mereka bertiga melemparkan senyuman sinis. Senyuman mengejek. Tangan hampir sahaja aku layangkan ke muka Adira.

"Woi! Kau orang buat apa, hah?" Suara itu menghentikan pergerakan tanganku yang hampir sahaja dilayangkan ke muka Adira. Pengawas lelaki yang sama. Dia berjalan mendekati kami.

"Tak buat apa pun. Cuma berbual kosong." Adira berkata dengan lenggok suara yang sengaja dilunakkan. Putera idaman di hadapan mata, haruslah dia berlagak baik.

"Girls, jom balik." Ajak Adira.

“Jaga diri baik-baik ya, Addin. Hati-hati balik nanti. Aku sayang kau dan aku tak nak apa-apa jadi dekat kau. Jalan nanti elok-elok, tengok kereta kiri kanan. Nanti accident, aku juga yang susah kan, Addin?” Pipiku Adira usap perlahan.

Aku alihkan muka ke tepi. Meluat betul. Dasar manusia hipokrit! Di hadapan orang, berpura-pura seolah dialah malaikat, di belakang orang, perangai serupa syaitan.

Bye, Han… You pun jaga diri tau…” Adira menghadiahkan  flying kiss kepada Farhan sebelum dia dan rakan-rakannya berlalu pergi.

“Gedik.” Gumamku.

 

 

"KAU OKAY?"  Dia memecah keheningan antara kami.

"Nur Addin!" Tiada sahutan.

"Nur Addin!" Panggilnya lagi. Suaranya dikuatkan.

Aku tersentak daripada lamunan.  Wajah Farhan yang berdiri di hadapanku aku tenung. Terpaksa aku mendongak sedikit disebabkan oleh perbezaan ketinggian. "Hah? Ya, ada apa?"

Senyuman sinis terukir di bibir Farhan. "Berangan tak sudah. Kau okay tak ni?"

"Erk… Aku okay." Kenapa gagap pula ni?

Dia menilik wajahku, tidak percaya. "Jom buat report dekat Cikgu Razak. Aku tahu kau kena buli. Orang macam dia orang jangan bagi muka. Lagi bagi muka, lagi menjadi-jadi perangai. Jangan risau, aku akan backup kau."

"Mana ada mereka buli aku. Tak nak aku buat report." Aku cuba menidakkan penyataannya. Malas mahu membesarkan cerita. Lagipun bukan teruk sangat aku kena buli. Selagi boleh sabar, aku sabar.

“Kau tak payah tipu aku. Aku nampak semuanya tadi. Jom buat report.” Desaknya.

“Kalau aku kata tak nak, maksudnya aku tak nak.”  Ujarku separuh tegas. Pantang betul dengan orang yang suka memaksa ini!

“Hari tu ponteng sekolah, hari ni kena buli pula. Hari tu berani buat salah, hari ni diam menikus serupa pengecut. Pelik-pelik aje kau ni.” Provok Farhan sambil menggeleng kepala.

“Kau tak payah nak cari gaduh dengan aku.” Aku menjeling Farhan tajam. Boleh tahan pedas mulut lelaki ni.

Farhan sekadar mengangkat bahu. “Siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya.”

“Dasar pengganggu ketenteraman!” Dengusku kasar sebelum berlalu pergi meninggalkan Farhan sendiri.


 


Comments

Popular posts from this blog

Novel: Cinta Ad & Far Bab 3

Salam Perkenalan